Monday, January 29, 2007

Amalan Berpuasa Pandangan AlKitab

Berikut adalah persepsi berkenaan puasa seperti mana yang dituntut dalam AlKitab. Lazimnya kita sebagai seorang Kristian yang mencintai firman Allah, seharusnya belajar dan mengetahui perkara-perkara yang Tuhan Allah ingin mengajar kita.

Semoga kita akan terus berjalan dalam firmanNya, dalam kasih Yesus dan di bawah kuasa Roh Kudus.

Sememangnya puasa merupakan suatu disiplin kerohanian Kristian yang baik dan kalau umat Kristian dapat melakukannya ia dapat mendatangkan kebaikkan dalam rohani masing-masing. Berpuasa ini memang diamalkan oleh pengikut-pengikut awal Yesus Kristus seperti yang tertulis dalam Kisah Para Rasul 13:4; 14:23. Berpuasa dan berdoa adalah berhubungkait dan diamalkan oleh pengikut-pengikut awal Yesus (Lukas 2:37; 5:33). Wahal dalam Perjanjian Lama pula adanya umat-umat Israel yang berpuasa memohon pertolongan Tuhan baik dari segi keselamatan negara mahupun dalam pertaubatan individu.

Walau bagaimanapun, berpuasa ini bukanlah wajib seperti yang dituntut dalam AlKitab. Dengan kata lain Tuhan tidak memerintahkan umatNya untuk berpuasa. Jadi apakah perspektif Kristian berkenaan puasa ini?

Lazimnya puasa yang kita tahu ialah jangan makan minum untuk masa tertentu. Tetapi puasa ini mempunyai perspektif yang lebih luas lagi. Puasa adalah disiplin yang membolehkan umat Kristian untuk memfokuskan dirinya lebih kepada Tuhan dari benda-benda duniawi. Amalan disiplin ini membolehkan Kristian untuk menunjukkan kepada Tuhan bahawa dia amat serius perhunbungannya dengan Tuhan. Ia dapat melatihkan umat Kristian untuk bergantung pada Tuhan daripada dirinya sendiri.

Yesus Kristus sewaktu dia berpuasa, Iblis menyuruhnya untuk menukarkan batu-batu pada roti. Yesus yang sudah lama berpuasa letih dan lapar. Akan tetapi Yesus mengenepikan kehendak badanNya dan bergantung kepada Tuhan. Manusia tidak dapat hidup hanya dengan roti tetapi dengan firman Tuhan. Di sini Yesus ingin mengajar kita bahawa walaupun tubuh kita ini lebih kepada duniawi, tetapi kita harus bergantung dan memfokuskan diri kita kepada Tuhan.

Amalan puasa ini dapat membantu rohani kita dengan menukarkan minda kita dan bergantung sepenuhnya kepada Tuhan.

Walaupun amalan puasa dalam AlKitab selalunya bertahan dari makan minum, namun adanya beberapa cara untuk berpuasa. Kita boleh menyerahkan apa-apa sahaja untuk sementara waktu agar kita dapat memfokuskan diri kita kepada Tuhan. Ia juga boleh dikira berpuasa (1 Korintus 7:1-5). Bila kita berpuasa dengan bertahan dari makan minum, ia haruslah dilakukan pada tempoh-tempoh tertentu. Kalau tempoh itu dilanjutkan tanpa makan, ia akan memudaratkan badan kita. Tujuan berpuasa bukan untuk kita menyeksa badan kita tetapi memfokuskan pada Tuhan dan menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan Tuhan. Sama juga dengan tujuan berpuasa bukanlah untuk berdiet. Kalau nak jaga badan, memang makan kena dijaga dan juga kenalah bersenam. Bagi mereka yang mempunyai masalah-masalah kesihatan contohnya masalah kencing manis (diabetics), mereka ini tidak dapat berpuasa tetapi mereka boleh berpuasa dengan cara menyerahkan sesuatu untuk tempoh yang tertentu supaya dapat memfokuskan pada Tuhan.

Untuk memfokuskan diri kita pada Tuhan, kita kenalah mengenepikan hal-hal duniawi. Berpuasa bukanlah satu cara untuk Tuhan melakukan hal-hal yang kita mahu. Puasa mengubah kita, bukan Tuhan. Puasa bukanlah untuk ditunjuk-tunjukkan bahawa rohani kita lebih baik dari yang lain. Puasa hendaklah dilakukan dengan rendah diri dan sikap yang ceria. Inilah saranan yang diberikan Yesus berkenaan puasa, “Tetapi kalau kalian berpuasa, cucilah mukamu dan sisirlah rambutmu, supaya tak ada yang tahu bahwa kalian berpuasa, kecuali Bapamu yang tidak kelihatan itu saja. Dia melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan akan memberi upah kepadamu." "Kalau kalian berpuasa, janganlah bermuka muram seperti orang yang suka berpura-pura. Mereka mengubah air mukanya supaya semua orang tahu bahwa mereka berpuasa. Ingatlah, itulah upah yang mereka sudah terima.” Matius 6:16-18

No comments: