Tuesday, February 27, 2007

Implikasi doktrin Tritunggal dalam komuniti manusia

Sudah pasti doktrin Tritunggal memang payah difahami. Pada hakikatnya Tuhan adalah Maha Esa seperti yang tertulis dalam AlKitab,

Dengarlah, hai orang Israel: TUHAN itu Allah kita, TUHAN itu esa! (Ulangan 6:4)

Pada resminya, dalam khutbah2 umat-umat Kristian diajar berkenaan Bapa, Anak dan Roh Kudus. Kebanyakkan gereja tidak mengajar doktrin Tritunggal secara holistik. Pada hakikatnya, doktrin Tritunggal dari satu aspek dapat membentuk kehidupan dan permikiran umat Kristian.

Dalam blog ini, saya tidak akan mendebatkan atau mempertahankan doktrin Tritunggal tetapi melihatnya dari satu aspek yang boleh mengubah pemikiran saya dalam perhubungan sesama sendiri dan dengan Allah.

AlKitab menyatakan Allah maha mengasihi dan maha menyayangi. Dengan kata yang ringkas kasih ada dalam Allah. Kasih melibatkan perhubungan dan bukanlah suatu abstrak persendirian. Dalam perhubungan adanya kasih.

Doktrin Tritunggal menyatakan Allah Maha Esa mempunyai 3 Peribadi. Ketiga-tiga Peribadi ini ialah Allah Bapa, Allah Anak dan Allah Roh Kudus. Perhubungan yang wujud antara ketiga-tiga Peribadi ini membentuk satu komuniti di mana kasih diluahkan dalam perhubungan ini. Kasih memang sudah wujud dalam komuniti Allah.

Bapa mengasihi Anak dalam perhubungan dengan Roh Kudus

Anak mengasihi Bapa dalam perhubungan dengan Roh Kudus

Komuniti wujud dalam Allah. Dan dalam komuniti ini adanya perhubungan dan kasih sayang yang diluahkan dalam perhubungan ini.




Kasih Allah yang terluah dariNya semasa penciptaan dunia dan manusia menunjukkan alam dan manusia ini dicipta kerana kasih Allah. Dunia ini penuh dengan kasih Allah. Manusia yang dicipta dengan imej Allah mempunyai kasih di dalamnya yang boleh diluahkan olehnya.


Apakah implikasi dalam diri kita melalui doktrin Tritunggal?


Allah menyatakan diriNya dalam Yesus Kristus. Hanya dalam Kristus sahaja kita diundang ke dalam perhubungan dengan Allah. Yakni kita diundang ke dalam komuniti Allah sendiri. Dosa yang telah memisahkan kita dari Allah dan dengan sesama sendiri telah dirapatkan dengan kematian Yesus Kristus. Keselamatan yang diberikan Yesus bukanlah hanya dari segi penyelamatan jiwa ke syurga tetapi ia mengembalikan perhubungan dengan sesama sendiri dan dengan Allah yang telah dihancurkan oleh dosa.


Kita dicipta bukan untuk hidup bersendirian dan berasingan. Kita dicipta untuk melibatkan diri dalam perhubungan dan komuniti masing-masing. Inilah maksud sebenarnya untuk menjadi manusia di muka bumi ini.

Mereka yang ingin memisahkan dirinya dari lain hanya hidup untuk dirinya sendiri. Mereka ini hanya melakukan perkara-perkara yang untuk dirinya sendiri. Manusia sering kali digoda untuk melakukan perkara-perkara yang hanya untuk kepentingan masing-masing. Pada hakikatnya ia membawa keburukkan dan kehancuran ke dunia ini dan diri kita. Kita dicipta untuk kebaikkan sejagat. Dunia ini dicipta bukanlah untuk kita sahaja. Ini membawa kita ke konsep penjagaan ekologi bumi. Kita adalah khalifah yakni penjaga bumi ini. Manusia yang dicipta dengan rupa / imej Allah mempunyai sifat-sifat untuk mengekalkan keindahan alam ini.

Dalam kasih Tritunggal inilah, Allah mengasihi dunia ini (manusia dan alam semulajadi). Atas kasih Allah pada dunia ini, Bapa mengutuskan Anak yang dikasihiNya. Anak yang mengasihi Bapa akur pada perintah Bapa walaupun menderita dan mati. Anak yang mengasihi kita semua ini mengutuskan Roh Kudus agar kita dapat memuliakan Allah Tritunggal dalam perkerjaan kita. Berdasarkan pada konsep kasih dan perhubungan, ia mengingatkan umat Kristian untuk saling kasih mengasihi sesama sendiri dalam apa jua kita lakukan baik dalam pelayanan mahupun perkerjaan sekular. Seringkali kita dengan khususnya dalam pelayanan Kristian adanya pergaduhan dan salah faham yang wujud kerana ego masing-masing. Kenapakah ia harus berlaku?

Kesimpulannya, gambaran yang diberikan dalam Allah Tritunggal ini ialah manusia seharusnya hidup bukan untuk dirinya sendiri tetapi hidup di dalam komuniti yang sentiasa berhubung sesama sendiri dalam kasih.

Sunday, February 18, 2007

Gong Xi Gong Xi

Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua pelawat laman web khususnya orang-orang Cina yang melangkah masuk ke tahun baru ini. Oh ya... tahun ini ialah tahun Khinzir Api.

Kepada mereka yang bukan bangsa Cina, Selamat Bercuti bersama keluarga anda tersayang. Semoga anda berhibur dengan apa jua yang anda lakukan.

Kepada kawan seiman saya, semoga kita memporlehi rahmat Tuhan. Yesus adalah Tuhan segala bangsa. Biarlah kita merayakan tahun baru Cina ini dengan berterima kasih kepadaNya atas segala nikmat syukur yang diberiNya. Biar tahun baru ini, kita akan lebih lagi memuliakan Tuhan kita dalam segala yang kita lakukan. Amin.

Gong Xi Xien Nien.