Thursday, December 31, 2009

Mahkamah: Larangan guna perkataan 'Allah' tidak sah

(Dipetik dari MalaysiaKini)

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut.

Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal”.

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja.

Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'.

Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Sunday, April 12, 2009

Selamat menyambut Hari Easter


Kebangkitan Isa-AlMasih memberikan pengharapan dan kehidupan baru kepada seluruh umat manusia. Amin

Thursday, February 05, 2009

Markus Ng : Dalam Kenangan




Saya terkejut bila mendengar berita pemergian Markus Ng. Walaupun saya hanya mengenalinya sewaktu dalam kelas "Sejarah Gereja" tetapi melalui perbualan serta perbincangan yang ringkas, Markus menunjukkan kematanganya dalam memahami Al-Kitab serta semangatnya untuk berbakti kepada masyarakat. Beliau juga menginsafkan saya bahawa Allah boleh menggunakan pemuda-pemudi demi kemuliaan Allah.

Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan olehnya. Segala usaha yang dilakukannya adalah kasihnya kepada Allah serta kepada komuniti yang beliau menaburkan bakti. Dan pastinya beliau telah melakukannya yang terbaik. Usaha beliau pasti menjadi inspirasi bagi semua.

Doa saya adalah untuk ahli-ahli keluarganya agar mereka akan tabah melalui saat-saat yang sedih ini. Yang pastinya beliau telah ditempatkan di rumah Bapanya yang beliau kasihi dan segala usahanya tidak sia-sia. Ia akan mendorong lebih ramai terutama bagi pemuda-pemudi untuk berbakti kepada masyarakat.

Pautan : Markus dalam kenangan

Friday, January 02, 2009

Komen Teresa berikutan penggantungan Herald edisi BM

Dipetik dari laman web Malaysiakini


'Hadiah terburuk' KDN kepada Kristian
Jan 2, 09 7:44pm


Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung penerbitan akhbar mingguan Kristian Herald edisi Bahasa Malaysia sebagai "hadiah terburuk" tahun ini kepada penganut agama itu, kata ahli parlimen Seputeh.

"Tindakan KDN itu sangat tidak adil dan tidak munasabah kepada penganut Kristian yang hanya boleh membaca Bahasa Malaysia,” kata Teresa Kok.

"Ramai penganut Kristian dapat memantapkan kepercayaan mereka melalui Bahasa Malaysia dan selama ini beribadat dengan bahasa kebangsaan."

Beliau, yang juga exco kerajaan Selangor, mengulas sikap kementerian itu baru-baru ini yang diambil sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung pertikaian penggunaan kata 'Allah' dalam penerbitan itu dengan KDN.

herald the catholic weekly online 241207Mingguan itu – diedarkan di kalangan 850,000 penganut Katolik di Malaysia – hampir ditarik balik lesen penerbitannya tahun lalu kerana menggunakan nama "Allah" sebagai terjemahan perkataan "Tuhan".

Pihak berkuasa melarang perkataan "Allah" digunakan dengan alasan ia hanya boleh digunakan oleh orang Islam.

Tarikh penggantungan tersebut yang berkuatkuasa kelmarin akan berakhir selepas mahkamah memutuskan sama ada akhbar tersebut boleh menggunakan “Allah” atau sebaliknya.

Teresa menyifatkan tindakan KDN itu mendahului mahkamah yang belum diketahui keputusannya dengan pasti.

"Penggantungan KDN itu sehingga mahkamah putuskan, yang tidak sesiapa tahu bila, ibarat meletakkan kereta kuda di depan haiwan itu, kerana kementerian telah merampas keputusan mahkamah itu!" tambahnya.

teresa kokBeliau berkata, kementerian menafikan hak bersuara dan mengeluarkan pendapat apabila mencampuri kandungan sebuah akhbar Kristian yang hanya dijual kebanyakannya kepada penganut Katolik, dan bukannya untuk edaran umum.

Sehubungan itu, beliau menggesa menteri berkenaan Datuk Seri Syed Hamid Albar menyemak semula keputusan Unit Penerbitan dan Unit Kawalan Teks al-Quran yang disifatkannya melanggar perlembagaan negara dan menambahkan kebencian masyarakat Kristian terhadap kerajaan BN.

Thursday, January 01, 2009

Selamat Tahun Baru 2009


Selamat Tahun Baru 2009. Biarlah tahun ini dibaharui dengan azam baru demi Kerajaan Allah.

Friday, December 26, 2008

Renungan Natal dan Adven 2008

Kepada semua rakan segereja, STM & pelayanan

Shalom.

Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, Natal disambut pada tahun ini berlainan sekali. Tahun ini sambutan Natal ini telah mengembalikan keriangannya yang sudah lama saya tidak alaminya.

Ia bermula dengan musim Adven yang disambut 4 minggu sebelum hari Natal. Pada masa inilah kanak-kanak sibuk untuk berlatih memberikan persembahan pada hari Natal. Ada juga kalangan kawan-kawan saya bershopping kerana adanya Mega Sale pada hujung tahun ini. Ramai yang ceria menanti-nantikan cuti panjang serta sambutan perayaan Natal ini. Banyak wang ringgit digunakan untuk individu sahaja.

Namun disebalik keceriaan kita menyambut hari Natal, ada juga yang tidak dapat menyambut hari Natal seperti kita menyambutnya. Adven juga menyaksikan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Pasti ada yang sedih kerana orang dikasihi telah menjadi korban bencana ini. Apakah adanya kedamaian serta pengharapan dalam tragedy ini? Di saat dunia mengalami krisis ekonomi dan rakan-rakan kita terpaksa dihentikan kerja, apakah adanya pengharapan dan kedamaian untuk melalui saat-saat yang susah ini? Anak-anak kecil yang didera dan menjadi mangsa nafsu oleh mereka yang tidak bertanggung jawab, apakah kedamaian yang ada untuk mereka?

Adven membukakan mata dan menyedarkan bahawa hari-hari lain juga kita patut berbakti kepada komuniti yang ditindas dan miskin. Tuhan yang MAHA KAYA pernah tinggal bersama mereka yang berdosa, ditindas, miskin dan dihina masyarakat. Kasih Tuhan kepada mereka ini mungking tidak dapat kita fahami. Hanya bila kita berada bersama mereka, bergaul bersama mereka, makan minum bersama mereka, ketawa dan nangis bersama mereka barulah kita dapat menyelami perasaan mereka. Kasih Tuhanlah yang menyatukan kita semua tidak kira status sosial, kewarganegaraan, bangsa, miskin atau kaya. Berkat kurnia serta kasih Tuhan kepada kita haruslah kita kongsikan kepada mereka yang tidak mampu dan upaya. Segala puji dan syukur kepada Tuhan kerana menggerakkan umatNya untuk mengjangkau kepada komuniti ini dan dapat melihat dan merasa apa yang mereka alami. Ia juga membuka mata dan menyedarkan kami bahawa komuniti-komuniti perlu dibela dari segala aspek termasuklah perundangan. Umat-umat Kristus boleh membawa kedamaian dan pengharapan dalam apa jua. Kasih yang diberikan melalui umat Kristian dapat memancarkan sinar kasih Kristus. Manusia tidak dapat hidup bersendirian. Mereka memerlukan hubungan kasih sayang. Dalam Allah Tritunggal wujudnya hubungan kasih antara Bapa, Anak dan Roh Kudus. Kita yang dijadikan menurut imej Allah juga memerlukan hubungan dengan Allah dan sesama sendiri.

Adven juga memberikan peluang saya untuk bersama-sama dengan jemaat BLC untuk menyanyikan lagu-lagu natal (caroling) bagi menyampaikan mesej Injil kepada mereka yang berada di luar gereja. Walaupun tidak pandai menyanyi namun bergembira kerana dapat bersama dengan saudara-saudari dalam Kristus untuk bersama-sama menyampaikan mesej damai dan harapan melalui lagu-lagu. Kanak-kanak juga turut bersama-sama sebagai satu ahli keluarga jemaat BLC untuk menyampaikan mesej tersebut. Alangkah betapa cerianya dan comelyna mereka sewaktu mereka menyanyi.

Sambutan Natal juga dirasai oleh rakan-rakan orang asli. Kanak-kanak juga turut bergembira kerana dapat makan bersama-sama. Mesej Injil juga diselami dalam hati mereka. Walaupun mereka buta huruf namun mereka tahu Yesus tetap sayangkan mereka. Seperti dikatakan tadi, kita semua satu dalam Kristus.

Musim Adven ini memberikan peluang kepada saya untuk merenungi kembali perkara-perkara yang telah saya lakukan dalam tahun 2008. Ia juga melatih setiap individu untuk merenung kembali, kembali kepada firman Tuhan dalam AlKitab supaya kita dapat melihat kembali dan mengkaji semula apa yang telah kita lakukan. Ia juga memberitahu saya supaya sentiasa berlindung, merenung kembali kepadaNya setiap hari.

Adven 2008 merupakan hari-hari yang teristimewa dan bermakna. Sepanjang adven ini, saya dapat menghayati dalam mendalami tujuan kedatangan Tuhan pada 2000 tahun yang lalu dan implikasinya pada masa ini. Kini sewaktu kita menanti-nantikan kedatanganNya kali kedua, banyak perkara yang perlu kita lakukan seperti yang diserukan oleh Rasul Paulus, "...kita akan memberitakan kematianNya sampailah Dia kembali".

Salam Hari Natal dan Tahun Baru 2009 bagi semua.

Saturday, March 22, 2008

Kemuliaan Bagi Allah

Laungan kemuliaan bagi Allah Tuhan. Selama-lamanya Allah kemuliaan bagi Allah. Segala hormat, syukur dan pujian hanya layak bagiNya.

Kemuliaan kepada Bapa,
kepada Putra
kepada Roh Kudus,
seperti pada permulaan, sekarang, selalu,
dan sepanjang segala masa.
Amin.

Renungan menanti Hari Paskah

Esok umat Kristian akan merayakan Hari Kebangkitan Yesus. Hari yang membawa pengharapan dan kehidupan baru untuk semua umat manusia. Saya berfikir baiknya kalau saya merenung balik iman melalui pengakuan Iman Rasuli serta doa yang diajar oleh Yesus.

PENGAKUAN IMAN RASULI (APOSTLES' CREED)

Aku percaya akan Allah,Bapa yang maha kuasa,
Pencipta langit dan bumi.
Dan akan Yesus Kristus
Putera-Nya yang tunggal Tuhan kita.
Yang dikandung dari Roh Kudus,
dilahirkan oleh Perawan Maria.
Yang menderita sengsara, dalam pemerintahan Pontius Pilatus,
disalibkan wafat dan dimakamkan.
Yang turun ketempat penantian,
pada hari ketiga bangkit dari antara orang mati.
Yang naik kesurga, duduk disebelah kanan Allah Bapa yang Maha Kuasa.
Dari situ la akan datang mengadili oroang hidup dan mati.
Aku percaya akan Roh Kudus,
Gereja Universal yang kudus,
Persekutuan para Kudus,
Pengampunan dosa,
Kebangkitan badan,
Kehidupan kekal.
Amin.

Doa yang diajar oleh Yesus kepada para pengikutNya

Bapa kami yang di surga,
Dikuduskanlah NamaMu,
datanglah KerajaanMu,
jadilah kehendakMudi bumi seperti di surga
Berikanlah kami pada hari ini makanan kami yang secukupnya
dan ampunilah kami akan kesalahan kami,
seperti kami juga mengampuni orang yang bersalah kepada kami;
dan janganlah membawa kami ke dalam pencobaan,
tetapi lepaskanlah kami dari pada yang jahat.
Karena Engkaulah yang empunya Kerajaan dan kuasa dan kemuliaan
sampai selama-lamanya. Amin.