Wednesday, April 11, 2007

Kuasa Injil untuk perubahan

Rasul Paulus mempunyai keyakinan yang teguh pada Injil (Roma 1:16a) kerana ia adalah penyelesaian bagi dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia. Paulus berani membuat deklarasi ini kepada umat Kristian di Roma. Roma pada masa itu merupakan kuasa terbesar di dunia samalah dengan Amerika Syarikat yang mempunyai status kuasa-kuasa terbesar pada masa ini. Keinginan Paulus mendorongnya untuk pergi dan memberitakan Injil kepada warga Roma. Rasul Paulus mempunyai keyakinan bahawa kuasa Injil itu melebihi dari kuasa besar Roma. Oleh itu, beliau tidak takut dan ingin sekali pergi ke Roma. Refleksi saya ialah adakah umat Kristian pada hari ini mempunyai keinginan untuk memberitakan Injil ke tempat-tempat yang sukar untuk dijangkau.

Pada masa itu, Roma bukan sahaja kuasa besar, tetapi jenayah dan kekejaman menular di kota tersebut. Keruntuhan akhlak dan moral seakan-akan sama dengan kota-kota Sodom dan Gomorrah. Kekejaman Maharaja Roma itu menjadi takutan dan sebutan oleh ramai orang. Inilah kota yang benar-benar Paulus ingin pergi untuk memberitakan Injil kerana beliau percaya Injil dapatmengembalikan keadilan dan moral di kota tersebut.

Kenapakah Paulus mempunyai keyakinan yang sungguh bahawa Injil dapat membuat perbezaan pada kota itu? Roma 1:16b mengatakan Paulus percaya Injil adalah kuasa Allah yang boleh menyelamatkan orang-orang yang percaya pada Yesus. Kuasa Injil Kristus mampu membuat perubahan dalam hati kita. Tiada kuasa yang lain yang dapat melebihi kuasa Injil. Dengan kuasa Injil inilah Tuhan menggunakannya untuk mengubah hati manusia. Paulus dalam pelayanannya mengatakan, "Senjata yang kami gunakan dalam perjuangan, bukannya senjata dunia ini, melainkan senjata yang diberikan oleh Allah. Dengan senjata itu kami boleh menghancurkan pertahanan musuh; kami menghapuskan perdebatan" (2 Korintus 10:4)

Tuhan menunjukkan kuasanya dalam Injil dalam perubahan hidup Paulus sendiri. Paulus sentiasa ingat bahawa pada masa lalu dia merupakan guru agama yang menganggap diri sendiri yang benar dan seorang penindas. Kita mungkin tidak percaya bahawa Paulus akan berubah atau sedar akan kesilapan yang beliau lakukan. Paulus pernah mengimbas kehidupan beliau sebelum menerima Yesus. Apabila Yesus menunjukkan dirinya pada Paulus, beliau jatuh di atas tanah, ketakutan dan berasa hairan. Sejak hari itu, kehidupan Paulus bertukar. Beliau bukan lagi mencabar kehebatan Injil malah menjadi Juara untuk Injil. Jelasnya dengan Injil, Paulus telah "menimbulkan kekacauan di serata tempat" (Kisah Para Rasul 17:60) . Injil mempunyai kuasa untuk menimbulkan "kekacauan" di dunia ini. Kekacauan ini adalah membuat perbezaan daripada yang tidak baik ke arah kebaikkan.

Paulus sedar bahawa kuasa yang mengubah kehidupannya itu dapat juga mengubah kehidupan mereka yang percaya mahupun orang Yahudi atau sebaliknya, yang berpendidikan atau sebaliknya, besar mahupun kecil. Kedegilan orang Yahudi dan kesombongan orang Yunani dapat dipecahkan dengan pedang tajam Injil. Dengan senjata inilah Paulus dengan beraninya pergi ke Roma. Paulus sedar Roma berada dalam pengaruh kuasa kejahatan. Roma berada dalam cengkaman si Iblis yang penuh dengan keangkuhan dan gejala maksiat. Akan tetapi kuasa Iblis tidak dapat melawan dengan kuasa Injil. Paulus sedar bahawa Tuhan boleh mengubah hati jahil manusia bila Injil diberitakan. Paulus tahu Tuhan boleh menyelamatkan setiap pendosa, membawa mereka dari hidup kegelapan kepada cahaya dan menyelamat mereka dari cengkaman kuasa Iblis. Paulus yakin melalui Injil, tiada perkara yang sukar atau mustahil bagi Tuhan.

Wahai sidang pembaca, adakah kita yakin dengan kuasa Injil? Adakah ayat-ayat Injil telah menyakinkan saudara dalam kuasa Ruh Kudus? Adakah Injil telah pecahkan hati kita yang keras itu? Injil mempunyai kuasa untuk menyelamat dalam Yesus Kristus! Walaupun hati kita penuh dengan dosa seperti kejahilan, kegelapan dan kekejaman, Injil dapat membersihkan hati kita dari semua dosa. Walaupun dosa mengeraskan hati seseorang, Tuhan sahajalah (melalui kuasa Injil) yang dapat mengubah hati seseorang itu. Tuhan pernah berjanji, "Aku akan memberi kamu hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati kamu yang keras dengan hati yang taat. Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke dalam hati kamu agar kamu menurut hukum-Ku dan melaksanakan semua perintah yang telah Kuberikan kepada kamu. " (Yehezikel 36:26-27). Inilah janji Tuhan untuk kita yang percaya dengan apa yang Injil boleh lakukan untuk kita. Bolehkah kita benarkan cahaya Injil menyinar dalam kegelapan hati kita?

No comments: