Sunday, March 11, 2007

Adakah saya untuk diri saya?

Saya bersetuju dengan artikel yang ditulis dalam blog Warkah Pascamoden. Anda boleh melihat artikelnya di bawah.

Brian McLaren juga mengingatkan saya dalam sesi perbincangan bahawa kita dicipta dan ditebus bukan untuk diri kita sahaja tetapi untuk jiran-jiran kita dan dunia ini. Adakah keselamatan yang diberikan baginda Isa AlMasih hanya untuk membawa jiwa kita ke syurga sahaja? Kita mempunyai peranan dalam membantu jiran-jiran kita untuk merealisasikan kerajaan Allah dalam hidup mereka agar mereka dapat melihat Yesus dalam hidup kita.

Memang patut kita mempertahankan kebenaran AlKitabiah (Apologetik). Umat Kristian diseru untuk memberikan jawapan yang kukuh supaya mereka dapat memahami iman Kristian sebenarnya. Akan tetapi kita lupa masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran kita. Contohnya, bila adanya dialog antara agama, kita sangat petah dalam perdebatan kita. Tetapi bila nak bantu jiran kita bila ditimpa bencana banjir, di mana kita?

Saya rasalah kita memang lupa peranan kita membantu jiran-jiran yang ditimpa masalah. Sebaliknya kita berada di suasana yang selesa bersama dengan kawan-kawan kita bermain, membeli belah, tengok wayang dan sebagainya. Kita ni lebih suka pergi ke gereja yang bertaraf "Mega Mall". Kita pergi gereja di mana lagu-lagu pujian dan khutbah yang memenuhi citara kita. Di manakah misi kita untuk jiran kita?

Perbuatan kita boleh mencerminkan identiti dan iman kita dalam baginda Isa. Hanya perbuatan yang diiringi dengan kasih diluahkan kepada jiran kita menyedarkan mereka identiti kita. Bantulah jiran kita dengan hati yang ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari mereka.

Saya juga berpendapat kita boleh berkerjasama dengan jiran-jiran yang bukan seiman dengan kita untuk kebaikkan bagi masyarakat kita. Kita tidaklah perlu risau kerana ia dapat membantu kita untuk mengenali jiran-jiran kita dengan lebih mendalam lagi.

Marilah kita ikut jejak baginda Isa AlMasih yang mempunyai belas kasihan terhadap mereka yang miskin, tertindas, sakit dan sebagainya. Ya baginda sering mengajar dan menyampaikan berita kerajaan Allah. Baginda juga mengiringinya dengan perbuatan kasihNya.

Berikut adalah artikel dalam blog seperti yang dikatakan tadi :

-------------------------------

Brian telah mengatakan sesuatu yang telah meninggalkan kesan kepada saya:

Manusia boleh memilih daripada empat opsyen berikut dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada “jiran” mereka yang berlainan dari mereka.

1. Memaksa mereka menukar agama/kaum/bahasa dan lain-lain dan diasilimisasikan
2. Menindas dan mengetepikan mereka
3. Tidak mempedulikan dan mengasingkan mereka
4. Kasih dan mengenal, melayan dan melindung.

Sebagai rakyat kerajaan baginda Al-Masih, seorang kristian mesti memilih opsyen keempat.

Dalam zaman sekarang yang dibelenggu terrorisme samada tindak-tanduk hegemoni Amerika di dunia terutamanya Iraq mahupun serangan pengebom berani mati di khalayak mangsa-mangsa yang tidak berdosa, titah baginda Yesus kepada rakyat kerajaannya mesti dipatuhi:

Markus 12:29-31 Jawab Yesus: “Hukum yang terutama ialah: Dengarlah, hai orang Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa. Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu dan dengan segenap kekuatanmu. Dan hukum yang kedua ialah: Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri. Tidak ada hukum lain yang lebih utama dari pada kedua hukum ini.”

Kasih-mengasihi tidak haruslah pada permukaan sahaja. Sebaliknya orang yang dikasihi harus dianggap sebagai kaum keluarga sendiri. Kenali jiran dengan mendalam. Layanilah mereka dengan hati senang. Lindungilah mereka sekiranya mereka dalam bahaya.

SEORANG KRISTIAN BERTANGGUNGJAWAB DEMIKIAN TIDAK KIRA KAUM, AGAMA, STATUS SOSIAL ATAU KEWANGAN!

“Kalau engkau hanya membantu semasa sendiri dan sejenis, engkau tidak berbeza daripada orang lain yang menolong semasa sendiri sahaja”

Dalam konteks dunia hari ini, konflik agama merupakan konflik yang terbesar. Rakyat jelata baginda Al-Masih mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantah sebarang kekerasan yang digunakan untuk menindas golongan yang tidak berupaya. Namun sekadar protes tidak memadai. Teori mesti diiringi dengan praktis. Apa gunanya berhujah panjang jika tidak diringi dengan langkah-langkah yang kukuh dan konkrit dan meninggalkan kesan?

Homili-homili di dalam surat Yakobus, saudara kepada baginda Yesus amat penting untuk direnungkan. Salah satu nas berbunyi:

Yakobus 1:26-27 Jikalau ada seorang menganggap dirinya beribadah, tetapi tidak mengekang lidahnya, ia menipu dirinya sendiri, maka sia-sialah ibadahnya. Ibadah yang murni dan yang tak bercacat di hadapan Allah, Bapa kita, ialah mengunjungi yatim piatu dan janda-janda dalam kesusahan mereka, dan menjaga supaya dirinya sendiri tidak dicemarkan oleh dunia.

Dan lagi:

Yakobus 2:26 Nah, sebagaimana tubuh tanpa roh adalah tubuh yang mati, begitu juga iman tanpa perbuatan adalah iman yang mati.

Bukalah minda dan dada.

Jangan kita ulangi Perang Salib yang dicetuskan oleh Kristian Katolik terhadap Timur Tengah pada Zaman Pertengahan. Jangan kita lupa kekejaman orang Katolik Sepanyol yang menakluki Amerika Tengah dan Selatan dan membunuh kaum tempatan.

Bayangkanlah betapa indahnya sekiranya kita mengamalkan Pemerintahan Allah dalam cara kita melayani mereka yang berbeza daripada kita. Satu dunia tanpa peperangan dan kekejaman.

Idealisme? Tidak, sekiranya semua manusia mula mengasihi satu sama lain.

Dan perubahan bermula daripada diri sendiri.

2 comments:

Rachel Chew said...

i found your blog through the ibridge email. i agree wholeheartedly with what you wrote here.

by being complacent to others around us, we are actually withholding love. we don't need people to come for a 'show' on sunday. we need to go to where the people are and ultimately, where Jesus is at now.

thank you for sharing.

Anonymous said...

terima kasih kerana berkongsi mesej yang positif dan memberangsangkan ini.

yang menghargai,
luruh